Sabtu, 21 November 2009

RPS @ Majlis Penghargaan ASWARA- Meraikan Sasterawan Negara ke-10, Y.Bhg. Datuk Dr. Anwar Ridhwan


Jumaat (9malam), 20 November - Revolusi Pembudayaan Selawat (RPS) menerima undangan istimewa untuk turut menjayakan Majlis Penghargaan ASWARA kepada Y. Bhg. Dato' Dr. Anwar Ridhwan sempena penganugerahan beliau sebagai Sasterawan Negara yang ke-10 mulai 20 Oktober 2009 yang lalu.

Majlis Penghargaan tersebut telah berlangsung di Dataran ASWARA dan dianjurkan sebagai sebuah majlis makan malam eksklusif diselangi dengan majlis penyampaian cenderahati kepada Sasterawan Negara ke-10, Dato' Dr. Anwar Ridhwan.

Turut hadir dan duduk semeja dengan Datuk Dr. Anwar Ridhwan pada majlis tersebut adalah seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Anggota RPS pula secara kebetulan diberikan tempat duduk semeja dengan sifu Faisal Tehrani al-Haj dan juga saudara Enche Lah yang menjadi wakil kepada ITNM.

S. (Syed?) Amin Shahab, seorang pelukis dan penulis lirik popular, juga kelihatan selang semeja daripada meja kami. Di akhir majlis beliau berseloroh,"Ana pun kira Ahlul Bait juga". Kami terkedu seketika sebelum tersenyum.

Beberapa segmen persembahan seni/sastera turut diaturkan oleh pihak penganjur untuk lebih memeriahkan lagi suasana majlis.

Dimulai dengan persembahan khas yang dipetik dari Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Yang Menjelma & Menghilang (karya Sasterawan Negara ke-10, Dato' Dr. Anwar Ridhwan), sesi deklamasi sajak/puisi(bukan 'piusi') hasil karya Sasterawan Negara ke-10 oleh siswa-siswi ASWARA, dendangan lagu-lagu puisi berjudul 'Tuhan' dan 'Impian' oleh iedet (Mahadzir Mohd. Sirat) diiringi petikan gitar Mahmud Bin Jais, deklamasi puisi 'Menyuluh Kenangan' & 'Di Hujung Jari' (dedikasi khas kepada Dato' Dr. Anwar Ridhwan) oleh Prof. Madya Arbak Othman, juga penampilan istimewa Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dengan puisi berjudul 'Kita'.

RPS begitu berbesar hati apabila turut diberikan slot persembahan untuk menyampaikan 2 buah lagu yang dipetik dari Kopitiam Ghadir berjudul Siapa Ahlul Bait? dan Keutamaan Selawat (single pertama yang telah mula dipasarkan sendiri secara kecil-kecilan sejak awal November '09).

Untuk persembahan di Dataran ASWARA tersebut, RPS cuma diwakili oleh tiga orang penyanyi (Amr Hmzh Abd Khr & Hilmi Alham) termasuk komposer kepada lagu-lagu runut Kopitiam Ghadir, iaitu Mohd. Iswan Mohd. Isa yang memiliki suara yang paling merdu.

Revolusi Pembudayaan Selawat Setinggi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur @ ASWARA terutamanya Puan Wan Norsiah Wan Abdullah dan juga Puan Susilawati atas kerjasama yang telah diberikan.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum dan Salam Satu Malaysia,

    Adakah grup indie Revolusi Pembudayaan Selawat (RPS) menyertai laman sesawang sosial Facebook?

    Harap balas.

    BalasPadam
  2. Salam! Maaf kerana lambat membalas. Kami sedang usahakan untuk mendaftar dengan Facebook. Buat masa ini kami hanya ada sebuah laman muzik di Myspace. Saudara boleh pergi ke www.myspace.com/revpemsel. Selamat mencuba! :-)

    BalasPadam