Rabu, 23 Disember 2009

Revolusi Pembudayaan Selawat (RPS) di dalam majalah DARA







Salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAWW serta ahli keluarganya. Sebagaimana yang telah diketahui ramai, Revolusi Pembudayaan Selawat telah membuat kemunculan sulung di dalam sebuah artikel majalah DARA, edisi bulan Disember '09. Kami sangat berbesar hati kerana telah diberikan peluang untuk mempromosikan kumpulan kami di majalah ini. Edisi Disember '09 telah mula dipasarkan pada akhir bulan November '09 dan setahu kami, majalah ini sangat cepat habis jualannya.

Di dalam artikel ini dipaparkan keempat-empat para pelakon yang telah menjayakan teater arahan Sasterawan muda negara, Tn. Hj. Faisal Tehrani yang berjudul 'Kopitiam Ghadir', pada bulan Ogos yang lalu di Wisma ITNM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kepada para peminat Revolusi Pembudayaan Selawat yang telah memiliki majalah DARA edisi Disember '09 ini, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua. Teruskan sokongan anda yang tidak berbelah bahagi kepada kami, insyaAllah kami akan terus bersemangat untuk meneruskan kegiatan memasjidkan seni kami. Sekali lagi, insyaAllah. Selawat!

Isnin, 21 Disember 2009

Bongkarlah rahsia alQuran sempena Muharram!

Semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi masih lagi menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia beberapa tahun lalu, masih lagi saya teringat di mana beliau pernah merasmikan sebuah majlis yang disiarkan di TV3. Dan kata-kata beliau yang saya masih ingat sehingga sekarang adalah,"Bongkar lagi rahsia alQuran!"

Sementara kita masih lagi berada di dalam Muharram yang mulia ini, apa kata kita bongkar betul-betul rahsia alQuran ini? Supaya kita tahu apakah isi sebenar Muharram ini, mengapakah bulan ini adalah bulan untuk berduka lara, bulan untuk membuktikan kecintaan sebenar kita kepada Rasulullah SAWW?

Adakah kita hanya sekadar duduk di hadapan televisyen menonton siapa yang memenangi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah sahaja?

Bacalah, semaklah dan kajilah...insyaAllah kita akan jumpa jalan yang lurus (benar)!

"Wa Muhammadah! Wa Aliyah! Wa Hasanah! Wa Jafarah! Wa Hamzatah! Wa Aqilah! Wa Abbasah! Wa Qatilah!," jerit Al-Husain parah menahan kesakitan, setiap kali pedih luka dirasakannya...lalu bercerailah kepalanya yang suci dari badannya yang suci itu. Dan gugur syahidlah sebagai Abul-Syuhada' pada hari Isnin 10 Muharram tahun 61 Hijrah. Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un!

Sabtu, 21 November 2009

RPS @ Majlis Penghargaan ASWARA- Meraikan Sasterawan Negara ke-10, Y.Bhg. Datuk Dr. Anwar Ridhwan


Jumaat (9malam), 20 November - Revolusi Pembudayaan Selawat (RPS) menerima undangan istimewa untuk turut menjayakan Majlis Penghargaan ASWARA kepada Y. Bhg. Dato' Dr. Anwar Ridhwan sempena penganugerahan beliau sebagai Sasterawan Negara yang ke-10 mulai 20 Oktober 2009 yang lalu.

Majlis Penghargaan tersebut telah berlangsung di Dataran ASWARA dan dianjurkan sebagai sebuah majlis makan malam eksklusif diselangi dengan majlis penyampaian cenderahati kepada Sasterawan Negara ke-10, Dato' Dr. Anwar Ridhwan.

Turut hadir dan duduk semeja dengan Datuk Dr. Anwar Ridhwan pada majlis tersebut adalah seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Anggota RPS pula secara kebetulan diberikan tempat duduk semeja dengan sifu Faisal Tehrani al-Haj dan juga saudara Enche Lah yang menjadi wakil kepada ITNM.

S. (Syed?) Amin Shahab, seorang pelukis dan penulis lirik popular, juga kelihatan selang semeja daripada meja kami. Di akhir majlis beliau berseloroh,"Ana pun kira Ahlul Bait juga". Kami terkedu seketika sebelum tersenyum.

Beberapa segmen persembahan seni/sastera turut diaturkan oleh pihak penganjur untuk lebih memeriahkan lagi suasana majlis.

Dimulai dengan persembahan khas yang dipetik dari Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Yang Menjelma & Menghilang (karya Sasterawan Negara ke-10, Dato' Dr. Anwar Ridhwan), sesi deklamasi sajak/puisi(bukan 'piusi') hasil karya Sasterawan Negara ke-10 oleh siswa-siswi ASWARA, dendangan lagu-lagu puisi berjudul 'Tuhan' dan 'Impian' oleh iedet (Mahadzir Mohd. Sirat) diiringi petikan gitar Mahmud Bin Jais, deklamasi puisi 'Menyuluh Kenangan' & 'Di Hujung Jari' (dedikasi khas kepada Dato' Dr. Anwar Ridhwan) oleh Prof. Madya Arbak Othman, juga penampilan istimewa Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dengan puisi berjudul 'Kita'.

RPS begitu berbesar hati apabila turut diberikan slot persembahan untuk menyampaikan 2 buah lagu yang dipetik dari Kopitiam Ghadir berjudul Siapa Ahlul Bait? dan Keutamaan Selawat (single pertama yang telah mula dipasarkan sendiri secara kecil-kecilan sejak awal November '09).

Untuk persembahan di Dataran ASWARA tersebut, RPS cuma diwakili oleh tiga orang penyanyi (Amr Hmzh Abd Khr & Hilmi Alham) termasuk komposer kepada lagu-lagu runut Kopitiam Ghadir, iaitu Mohd. Iswan Mohd. Isa yang memiliki suara yang paling merdu.

Revolusi Pembudayaan Selawat Setinggi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur @ ASWARA terutamanya Puan Wan Norsiah Wan Abdullah dan juga Puan Susilawati atas kerjasama yang telah diberikan.

Rabu, 4 November 2009

Kini Terbit!!! Single Pertama R.P.Selawat - Keutamaan Selawat


Judul :
Keutamaan Selawat

Irama & Melodi :
Iswan Mohd. Isa

Lirik/Senikata :
Iswazi Mohd. Isa

Dipersembahkan oleh :
Amr Hmzh Abd Khr & A.Xodd14
dari
Unit Persembahan RPS

Studio Rakaman :
Inteam Records Studio @ Sri Damansara
(jurutera bunyi : Amin)

Pengarah Kreatif :
Faisal Tehrani al-Haj
(http://tehranifaisal.blogspot.com/)

Urusan Tempahan/Promosi/Pembelian:
Hubungi
Saudara Luqman Hisyam
(chefhisyam@gmail.com)
atau
Unit Perhubungan Awam RPS
(revolusi.pembudayaan.selawat@gmail.com).

Terima kasih.

Selasa, 3 November 2009

Salam Kembali

Dengan asma' Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, segala puji-pujian hanyalah bagi Tuhan Pemilik Sekalian Alam, seterusnya selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAWW dan keluarga Baginda yang suci.

Revolusi Pembudayaan Selawat ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian segenap khalayak peminat seni Islami yang tidak putus-putus menyatakan minat mereka untuk terus mengikuti perkembangan dan menyokong aktiviti kumpulan ini, walaupun tanpa perkhabaran rasmi sejak hampir dua bulan yang lalu.

Setelah hampir dua bulan berlalu tanpa sebarang entri mahupun pengemaskinian, dengan sukacitanya dimaklumkan melalui entri ini bahawa blog rasmi Revolusi Pembudayaan Selawat kini kembali diaktifkan, berkat izinNya.

Doakan sempena kembalinya pengaktifan blog rasmi ini, semoga kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat akan lebih bersemangat untuk terus istiqamah dalam memasjidkan seni dan membudayakan selawat, insya-Allah.

"Memasjidkan Seni, Membudayakan Selawat. - Faisal Tehrani"

Sekian.

Amr Hmzh Abd Khr

Khamis, 10 September 2009

Kopitiam Ghadir : A Play That is Larger than Life

***Teks dipetik sepenuhnya dari sumber asal, klik sini.


Kopitiam Ghadir is a musical play written and directed by Faisal Tehrani who has been granted with Malaysia National Art Award. However, despite having the respected title, he was treated like dirt before the play was successfully presented to audience. The initial stage supposed at Dewan Bahasa dan Pustaka (a department that secure the wellfare of culture and Malay language) but has been denied a week before the play is schedule to begin.

Despite being betrayed from the organizer, his production team manage to get green light from ITNM which give them place to act. If you think that ITNM has a proper place to perform an act, think again. ITNM does not have ampitheater or compatible place to perform a play. They only have a hall that is only suitable for book launching ceremony or a seminar. So, the audience and the actors will share the same floor.

Against all odd, the team manage to perform Kopitiam Ghadir for three consecutive nights, plus one evening performance.

Speaking the truth, it is a play which you can always watched it during students dinners and performance. If you ask me the significant impact in term of materials used, I would say-none. I would give credits for the scores because it was original and written by rising young music talent, but if the musical element missing there is nothing to say about Kopitiam Ghadir.
This is what I called a slum production group. An oppressed groups with limited sources and capital. No big sponsors, no grand props, no advance sound system, amature actors to add for the suffer, a big NO from the authority. Even the text was written by renown prolific Malay young writer Mr Faisal Tehrani himself, it seem that he was restrain from expressing art to mass audien. WHY?

If this is a work of a slum production, why they get a lot of obstacle before it can be shown to the public? What harm can four amateur actors and a song writer will do to audiens?

The answer lies inside the text. Kopitiam Ghadir has been written to highlight an event that occur one time ago at a place called Ghadir Khumm but been missing in centuries time in our community (more than 1400 years now). That what make KG larger than life. The text challenges people to use their brain and come to reason together. KG is also strategic because it will helps us to understand what are the causes that divide ummah into sects and schools.

Quoting what has been uttered by my fellow friend, the theater is huge in term of ideas and you need to have knowledge to be there to enjoy the play. This is not a play for ignorance and for people searching entertaiment. However, the theater is enjoyed enough as the idea has been put forward in simplistic version: a short discussion, songs and variety of characters.

I believe KG text as similar approach what has Dan Brown been doing all this while. However Dan Brown intentionally to challenge, but KG is to highlight what has been in box and kept silent for century to public. And this worries the authority badly, therefore they put lots of restriction to the production.

Yes, our community is not ready to speak out loud. Our community still not ready to seek truth from medium other than Masjid (mosque). Our community still can't accept that Ustaz can wear shirt and jeans, instead of rob and turban. Our community still can't hear the truth from places like ampitheater but from the altar. Our community only can accept words from sermon not from good musics and songs. Our community has been doctrine to accept words from authorised personality from government office only, not from those who live a life from the Quran.

KG production is the reflection of the event occur at Ghadir Khumm. As expected. Media keep silent to promote the show. Authority and sponsors deny the event on the promised date. The production have to move on their own, to struggle what they believe as truth.

Ghadir Khumm is like that. People questionning the event, weather it has took place or it just a myth that uttered by oppurtunist group. To speak the truth, there are a lots of academic writing that authenticated the event. There are a lot of scholar with high ranking post warranted that event. It is an event which is brighter than sun shine. But yet, people likely to stay in the state of denial.

KG is like that. So, what have had happen to the production is expected even so. But they pop up like daisies in winter. The are the water lily that live on lakes. What ever happen, come what may!

That what make KG special. It is an oppressed production. Small but yet significant. Amatuer but yet professional. It is just like to light a candle but explode with great impact. I think if Shaskespear live, he will try to do sometime like this.
Congratulation to KG productions!

Ahad, 30 Ogos 2009

Salam Sempena Kemerdekaan Malaysia ke-52 Diiringi Laungan Selawat Yang Sempurna

P/S: Selain mengibarkan Jalur Gemilang
dan melaungkan Merdeka! sempena 31 Ogos kali ini,
marilah kita laungkan juga
sebanyak-banyaknya ungkap selawat yang sempurna,
dengan harapan agar sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-52 ini
dilimpahi rahmat kurniaan Allah,
dan semoga syafaat Rasulullah SAWW dan ahli keluarga Baginda
mengiringi sambutan kemerdekaan tanahair kita
yang tercinta, Malaysia!

Dengan namaMu Ya Allah,
Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Allahumma solli 'ala Muhammad, wa aali Muhammad

Ya Allah! Limpahilah keberkatanMu dan kesejahteraanMu
ke atas Muhammad, dan keluarga Muhammad

Kami (Rakyat Malaysia) bermohon padaMu, Ya Allah,
agar Kau percepatkanlah kemenangan
di pihak yang benar dan beriman
Kami bermohon juga padaMu, Ya Allah,
agar Kau timpakanlah laknat
ke atas musuh-musuhMu di negara kami Malaysia ini,
Kau laknatilah para pengkhianat dan penderhaka
yang memalsukan kebenaranMu dan RasulMu,
Muhammad al-Mustafa.

Amin Ya Rabbal'alamin.

Sabtu, 29 Ogos 2009

REVOLUSI PEMBUDAYAAN SELAWAT@SELAMAT PAGI MALAYSIA,TV1, 8.30 PAGI, 29 OGOS 2009

Selamat Menonton! Nikmatilah Persembahan Penuh Selawat Secara Akustik! ;-)

Selasa, 25 Ogos 2009

Kopitiam Ghadir : Temubual Eksklusif KLpos.com dengan Faisal Tehrani

Sumber asal dari KLpos.com, klik sini.
Sumber pautan dari blog Faisal Tehrani, klik sini.


Kopitiam Ghadir dikatakan kontroversial sehingga tidak dapat dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 8-11 Ogos lalu dan terpaksa ditunda dan dibawa ke Institut Terjemahan Negara pada 13-16 Ogos 2009 lalu?
Untuk pengekor setia saya, idea ‘supra mazhab’ seperti yang saya ungkapkan dalam Mingguan Malaysia 23 Ogos lalu sudah terbiasa. Jadi tak ada yang kontroversi. Saya menegaskan kita mesti meminjam solusi atau formula dari tradisi Islam yang lain, kita gubah dan sesuaikan lalu kita canai dengan baik untuk menjadi ubat atau penawar kepada masalah yang sedia ada. Tidak kira formula solusi itu dari sunni, syiah, kejawen ataupun tarekat asalkan ia Islam. Ini tidak, karya sastera Islam (kebanyakannya) balik-balik cinta muslim-muslimah. Balik-balik ungkapan Islami di sana sini. Tidak ada hasil. Tidak ada sikap sosial. Tidak ada wacana untuk menyelesaikan masalah ummah. Baca pun kita naik geli-geleman. Tidak mencabar pemikiran.


Apa yang membuatkan Dewan Bahasa dan Pustaka menyusahkan pementasan Kopitiam Ghadir jika begitu?

Saya tak tahu. Itu mesti tanya DBP. Pada 24 Julai 2009 mereka telah bersetuju memberi tempat pementasan di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Surat izin ditandatangani oleh Ketua Bahagian Pengembangan Sastera. Ekoran dari itu pada 27 Julai, produksi Kopitiam Ghadir telah mendapat permit polis dan DBKL.


Kemudian saya berlepas ke Singapura untuk acara Read Singapore. Bila saya pulang ke pejabat pada 4 Ogos, dapat surat menerusi faks bertarikh 30 Julai 2009 yang mengatakan saya perlu meminta kebenaran pihak berwajib agama. Surat ini ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Sastera. Padahal saya bertemu dengan beliau dan Ketua Pengarah DBP di Kementerian Pelajaran sewaktu mesyuarat Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris pada 3 Ogos.


Saya tidak ada masalah untuk meminta pandangan JAKIM. Saya tahu undang-undang dan prosedur. Tapi saya juga kerja kerajaan dan saya tahu cara orang bekerja. Jika saya merujuk Bahagian Penyelidikan JAKIM, tentu akan memakan masa sedangkan tarikh pementasan sudah dekat dan sudah ramai yang membuat tempahan untuk datang menonton. Ada waktu kurang seminggu untuk mendapat penilaian JAKIM.


Waktu itu saya belum marah kerana saya tahu ramai orang di DBP dari zaman Jurasik serta ketinggalan zaman, dan tidak faham idea-idea supra mazhab saya yang kompleks. Tetapi saya jadi marah apabila mendapat tahu adanya pementasan di Stor DBP pada 11-16 Ogos yang ada kisahnya berlegar sekitar anak haram dan gay. Saya mendapat tahu naskah anak haram dan gay ini tidak diwajibkan merujuk JAKIM. Berbanding drama Kopitiam Ghadir yang secara inteleknya membawakan wacana hadis, saya kira drama anak haram dan gay lebih patut dinilai dan disiasat JAKIM. Saya anggap DBP sengaja sabotaj.


Waktu itu saya marah. Dan saya marah sebagai seorang Muslim, sebagai seorang dhaei, sebagai seorang penerima Anugerah Seni Negara 2006 yang diperlakukan macam sampah sarap. Nak beritahu saya pun tak berani, arahkan seorang dua pegawai hantar sms kepada saya. Ini keutamaan pencapaian yang diinginkan oleh sebuah agensi kerajaankah?


Bagaimana Kopitiam Ghadir boleh dipindahkan ke ITNM?
Saya mengemel naskah Kopitiam Ghadir kepada pihak ITNM dan bertemu sendiri dengan Pengarah Urusannya. Dan mereka faham drama ini sebuah drama wacana. Sebuah pendapat. Kalau tak setuju maka ia wajar dibalas dengan pendapat juga, dengan wacana juga, bukan dengan menghalang pementasan. Jadi saya berterima kasih dengan ITNM yang celik minda dan siuman dalam penilaian. Saya juga berterima kasih dengan IKIM.fm yang tolong mempromosikan kerja dakwah kami ini. Ada dee-jaynya datang menonton. IKIM ini maksudnya Institut Kefahaman Islam Malaysia. Mujur ada agensi kerajaan yang masih waras dan guna akal untuk menimbang sesuatu.


Kopitiam Ghadir mengisahkan apa?
Punca perpecahan umat Islam ialah soal kepimpinan selepas Rasulullah saw. Kita menerima Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pengganti Nabi Muhammad. Tetapi ada umat Islam mengatakan Rasulullah telah melantik Saidina Ali sebagai pemimpin selepasnya di Ghadir Khum. Ada yang mengatakan peristiwa Ghadir Khum itu sebagai hadis dhaeif. Tidak kurang juga yang mengatakan ia sahih. Dalam Musnad Imam Ahmad, yang sahih dan dhaeif itu dua-dua sekali ada. Dalam Kopitiam Ghadir, watak-watak ini membacakan hadis yang dhaeif dan sahih tersebut. Saya selaku pengarang tidak menghukum sesiapa pun. Saya mengatakan dalam naskah tersebut: “Ada yang pilih hadis sahih sebagai hujah, ada yang pilih hadis dhaeif, tema hadis tetap sama iaitu Rasulullah saw pilih Saidina Ali sebagai pemimpin. Jadi buat apa nak gaduh-gaduh. Kita umat Islam kena bersatu. Kalau nak pegang pada dhaeif silakan, nak pegang pada sahih silakan. Yang penting hari ini kena bersatu, musuh banyak nak ganyang kita.”


Hanya ada seorang pegawai DBP yang datang menonton. Dia pulang dan sms saya kata dia puas dengan hiburan berintelek. Lain yang datang menonton Kopitiam Ghadir antaranya Saudara Mohd Ezzam Mohd Nor ahli politik terkenal, penggiat teater Zakaria Ariffin dan Dr Zainal Latiff, juga Helmy Samad pemilik Wira Bukit. Saya tak nampak pun mereka balik dalam keadaan sesat dan rosak akidah. Tak ada pulak mereka isytihar nak jadi atheis lepas tonton pementasan kami. Kopitiam Ghadir mengajak orang membudayakan selawat. Lagu pun tentang selawat. Tak ada sepicing pun tentang anak haram dan gay. Tengok pun dapat pahala. Kalau bantu lagi dapat pahala. Atie AF datang menonton hantar sms kepada saya dan menutup sms dengan kalimat - selawat. Itu tak baguskah?


Siapa pelakon Kopitiam Ghadir?
Budak-budak band indie. Tapi mereka baik-baik belaka. Tak ada antara mereka penyokong anak haram, gay atau atheis. Amir Abdul Kahar pernah menjadi pemain gitar dengan beberapa band. Charles Faizal pula pernah menubuhkan band Faces dan merupakan pengasas Seekers. Ahmad Xodd adalah penyanyi yang pernah dicalonkan untuk AIM 2004 bagi kategori Album Inggeris Terbaik. Hilmi pula pernah menyanyi dengan band The Section. Jadi pelakon Kopitiam Ghadir adalah anak-anak indie yang tercerahkan, yang bukan melalak menyanyi lagu punk tapi tak reti baca kitab hadis. Saya himpunkan mereka, lunasi mereka dan bawa mereka kepada lagu-lagu ketuhanan. Nak harap orang lain buat payah, sebab masing-masing menghukum. Pada saya hukum datang kemudian, ajak minat pada agama dulu yang utama. Bila dah minat pada agama sendiri tahu nak jaga hukum.


Mereka ini menubuhkan Band Revolusi Pembudayaan Selawat?

Revolusi Pembudayaan Selawat atau RPS bukan band, bukan kumpulan nasyid. Kami adalah NGO, sebuah gerakan, iaitu gerakan untuk memasjidkan seni dan membudayakan selawat. Itu pun ada orang kata kami buat main dengan agama. Gila. Itu hasrat kami, nak masjidkan seni. Jadi siapa-siapa boleh menyertai RPS dan datang membantu.


Lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir sangat merdu adakah kemungkinan untuk RPS merakam album?

Lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir dicipta oleh Mohd Iswan Isa, pelajar akhir UITM Shah Alam. Lirik oleh abangnya sendiri Mohd Iswazi. Memang saya nak mereka rakam lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir supaya masyarakat boleh dengar. Tetapi proses merakam album tidak mudah dan perlukan dana besar. Kami memang nak buat cepat sebab takut lagu-lagu diciplak oleh komposer mapan yang mahu ambil jalan mudah.


Apakah ada kemungkinan Kopitiam Ghadir dipentaskan sekali lagi?
Ada. Mungkin bulan Disember (2009). Tetapi bergantung kepada dana. Ramai orang panggil nak bawa kami ke sana ke mari tetapi mana duit? Beri kami duit. Kalau teater tentang anak haram dan gay boleh diberi duit, sila beri duit kepada teater yang memuja keagungan dan keutamaan Rasulullah saw, dan Saidina Hamzah.


Saudara Faisal tidak bimbang digam Dewan Bahasa dan Pustaka?
Nak buat macam mana? Saya timun. Mereka durian. Nak gam atau tidak bukan kuasa saya. Kerja dakwah mesti diteruskan. Saya katakan kepada kawan-kawan di DBP, jawab dengan Tuhan nanti macam mana teater anak haram boleh dibenar dipentaskan di sana tapi teater puja Rasulullah menerusi selawat dipayahkan. Belum lagi dikira teater pikul kavadi dalam bulan Rejab. Siapkan jawapan mulai sekarang.


Apa tindakan saudara seterusnya?
Saya bukan lagi anak Minggu Penulis Remaja yang DBP kenal sewaktu saya berusia 16 tahun. Jangan terperangkap dengan masa. Saya penerima Anugerah Seni Negara 2006. Mungkin ada orang tak pandang gelar ini. Tapi gelar ini saya dapat daripada Yang Dipertuan Agung. Saya akan tulis surat kepada pihak atasan. Dalam keadaan 1Malaysia di mana suara minoriti didengar, dalam keadaan rakyat biasa pun didahulukan maka takkanlah pihak atasan akan abaikan aduan seorang penerima anugerah seni negara.


* Revolusi Pembudayaan Selawat akan muncul di Selamat Pagi Malaysia pada 29 Ogos 2009 (sabtu) ini. Pastikan anda menonton pelakon-pelakon Kopitiam Ghadir ini nanti.

Khamis, 20 Ogos 2009

Doa Malam Pertama Bulan Ramadhan

Marhaban Ya Ramadhan al-Mubarak!
Dari Revolusi Pembudayaan Selawat,
buat saudara/saudari kami di seluruh dunia:
Mohon maaf Zahir dan Batin atas semua dosa dan kesalahan, kekhilafan dan kekurangan.
Semoga urusan kita akan dipermudahkan olehNya.
Selawat!


Dengan asma Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Ya Allah, sampaikan selawat kepada Muhammad SAWW dan keluarga Muhammad SAWW

Ya Allah, sesungguhnya bulan ini adalah bulan yang penuh berkat,
bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an dan dijadikan petunjuk bagi manusia,
penjelasan dari petunjuk dan pemisah.

Bulan Ramadhan telah tiba,
maka selamatkanlah kami di dalamnya,
alirkan kedamaiannya kepada kami,
jadikan ia keselamatan bagi kami dalam kemudahan dan keselamatan dari-Mu.

Wahai Yang Menerima amal yang sedikit dan mensyukuri yang banyak,
terimalah amalku yang sedikit.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, jadikan bagiku jalan menuju semua kebaikan,
dan penghalang dari semua yang tidak Engkau cintai,
wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi.

Wahai Yang Mengampunkan segala kesalahan dan kejelekan daku yang tersembunyi.
Wahai Yang Tidak menyeksaku kerana perbuatan maksiatku,
ampunilah daku, ampunilah daku, ampunilah daku wahai Yang Maha Mulia.

Tuhanku, Kau sentiasa memberi kesedaran kepada-ku, walau jika aku belum juga tersedar.
Kau halau daku dari larangan-Mu, tapi aku belum juga terhalau,
lalu apa lagi alasanku,
ampunilah daku wahai Yang Maha Mulia,
ampunilah daku, ampunilah daku.

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kedamaian saat kematian menjemputku,
dan ampunilah daku saat amalku dihisab.
Besar sudah dosa hamba-Mu ini,
maka ampunilah daku dengan ampunan yang baik dari sisi-Mu
wahai Yang Maha Menjaga dan Maha Mengampuni, ampunilah daku, ampunilah daku.

Ya Allah, aku adalah hamba-Mu putera hamba-Mu,
yang lemah dan mendambakan rahmat-Mu.
Sementara Engkau Yang Menurunkan kekayaan dan keberkatan kepada semua hamba-Mu,
Engkau Maha Perkasa dan Maha Kuasa,
Engkau menghitung semua amal mereka,
Engkau yang membahagikan rezeki mereka,
Engkau ciptakan mereka berbeza-beza dalam bahasa dan kulit dari generasi ke generasi berikutnya.
Hamba-Mu tak akan mampu mengetahui semua ilmu-Mu,
hamba-Mu tak akan mampu menolak takdir-Mu.
Kami semua mendambakan rahmat-Mu,
maka jangan palingkan wajah-Mu dariku,
jadikan aku tergolong di kalangan hamba-Mu yang soleh dalam amal dan keinginan,
dalam ketetapan dan takdir-Mu.

Ya Allah, hidupkan daku dalam kehidupan yang paling baik,
dan matikan daku dalam kematian yang terbaik
mengikuti jejak para kekasih-Mu
dan menjauhi musuh-musuh-Mu,
takut dan patuh pada-Mu,
memenuhi dan menerima perintah-Mu,
membenarkan kitab-Mu dan mengikuti sunnah Rasul-Mu.

Ya Allah, semua yang ada dalam hatiku:
keraguan, penentangan, keputus-asaan, kesenangan yang berlebihan, kesombongan, keangkuhan ketika mendapat nikmat, prasangka buruk, riak atau suka pujian, permusuhan, kemunafikan atau kekufuran, kefasikan atau kemaksiatan, atau kebanggaan, atau sesuatu yang lain yang tidak Engkau redhai,
kerana itu, aku bermohon kepada-Mu,
gantikanlah semua (yang tidak baik) itu dengan keimanan pada janji-Mu,
patuh pada perintah-Mu, redha pada ketentuan-Mu, kehidupan zuhud di dunia,
harapan pada yang ada di sisi-Mu, kedamaian dan taubat yang sebenarnya,
aku bermohon semua itu kepada-Mu ya Rabbal‘alamin.

Tuhanku, Engkau dimaksiati kerana santun-Mu,
Engkau ditaati kerana kemuliaan dan kepemurahan-Mu,
seolah-olah Engkau tidak pernah dimaksiati olehku dan oleh seluruh penghuni bumi.
Maka jadilah Engkau bagi kami Yang Maha Pemurah dengan segala rahmat kurniaan-Mu,
Yang Maha Peduli dengan segala kebaikan-Mu.

Wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi.
Semoga selawat senantiasa tercurahkan kepada Muhammad (SAWW) dan keluarganya,
selawat abadi yang tak terhitung jumlahnya
dan tak terukur nilainya oleh selain-Mu
wahai Yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi.

Ya Allah, sebentar lagi bulan sabit (awal malam) Ramadhan akan tiba.
Dengannya, ampunilah kami, alirkan pada kami rahmat kurniaan-Mu dan keberkatan-Mu.
Selamatkan kami dari segala yang kami takutkan dan segala penyakit.
Ya Allah, jadikan kami hamba-Mu yang memperoleh kedamaian dari-Mu.
Himpunkan kami bersama kafilah rohani para kekasih-Mu
yang bergegas menuju pintu gerbang-Mu,
dalam mengharap ampunan dan keredhaan-Mu.
Sehingga...
Punahlah keraguan dalam fikiran kami
Hilanglah segala kekhuatiran dalam hati kami
Mencairlah segala kebekuan dalam hidup kami
Sehingga kami memperoleh sejuknya kedamaian dari-Mu,
dan indahnya kekhusyukan dalam beribadah kepada-Mu.

Amin ya Rabbal 'alamin

"Berselawat atas Muhammad (SAWW),
disusuli keluarga Muhammad (SAWW)"

- alunan korus lagu Keutamaan Berselawat
yang berkumandang dari sebuah kota kecil,
terpencil dan penghuninya pun tak ramai.
(Hakcipta Terpelihara 2009)

Dipetik dari Kopitiam Ghadir, karya & arahan Faisal Tehrani,
melodi asal & komposisi oleh Iswan Isa, lirik oleh Iswazi Isa.
(Hakcipta Terpelihara 2009)

Kopitiam Ghadir: Hadir Minimal Tetapi Berkesan oleh Zul Fikri Zamir

Sejak zaman Mahenjo Daro & Harappa lagi, teater telah menjadi alat mencatat sejarah. Dalam bahasa Yunani kuno, 'theatron' dikatakan sebagai melihat dan memandang pelbagai jenis hal.

Melihat kembali bagaimana Shakespeare menggunakan teater untuk menghiburkan kaum bangsawan pada abad ke-16, peranan tersebut kekal sehingga kini, eksklusif serta timbul untuk melahirkan sesuatu.

Dalam Dynamics of Drama, Bernard Beckerman mendefinisikan teater sebagai sesuatu yang terjadi ketika manusia terisolasi dalam ruang dan waktu. Untuk tujuan tersebut, teknik ucapan, gestures, mimik muka dan gerak badan perlu sesuai dengan tujuan pementasan.

Menyorot sisi seni pula, Dr Sidi Gazalba menyifatkan seni yang baik, yang memegang nilai moral yang tinggi adalah ciri-ciri seni yang indah.

Kopitiam Ghadir adalah teater paling ringkas yang pernah saya tonton walaupun diarahkan oleh penulis bertaraf selebriti seperti Faisal Tehrani. Cukup dengan bumbung, sebuah pentas dan tempat duduk, seni persembahan ini benar-benar merakyat. Maka masyarakat berpeluang menonton dan menikmati hiburan tersebut dengan suasana anti-protokol.

Dalam skala pentas seni, Malaysia adalah sebuah negara yang meriah dari segi persembahan teater. Negara punya pelbagai jenis persembahan bermusim dengan tema patriotik atau kemerdekaan, ataupun pelbagai jenis persembahan terbuka yang lain, selalunya menumpu di Kuala Lumpur (belum kira Pekan Teater dan sebagainya).

Maka tidak hairan studio canggih seperti Istana Budaya yang lengkap dengan pentas bergeraknya penuh dengan pelbagai aturcara setiap bulan. Paling 'cikai', Stor DBP adalah sebahagian dari pentas pilihan yang dipilih oleh penggiat seni di Malaysia.

Teater konvensional tidak dapat lari dari penataan cahaya, kostum serta set mega yang akan membantu 'mood' pelakon serta membina suasana yang akan dirasai oleh penonton. Menolak hipotesis ini, Faisal Tehrani berjaya membentuk sebuah kumpulan yang berjaya memerangkap penonton dalam kurungan khayalannya lantas membawa penonton menelusuri pemikirannya. Lebih besar dari itu, gaya persembahan yang bersahaja sebegini membincangkan sebuah persoalan yang merentas vakum masa dan inter-mazhab. Hasilnya, dengan teknik provokasi simplistik tetapi mengesankan, watak Ustaz Malaya yang gagap (sinikal) telah direndam ke dalam sebuah debat ilmu yang tinggi makamnya.

Umum mengetahui, dalam seni pementasan, eksplorasi pergerakan, vokal serta penghayatan adalah bumbu utama sebuah naratif. Kopitiam Ghadir telah merendahkan nilai tersebut dengan menolak hipotesis umum mengenai keperluan-keperluan tersebut tanpa merendahkan nilai ilmu yang dijunjungnya. Dalam Kopitiam Ghadir, ilmu adalah sumber kekuatan dan improvisasi mutlak yang akan melorongkan isolasi ruang dan waktu seperti yang dikatakan oleh Bernard Beckerman di atas. Merenjat kebiasaan, Kopitiam Ghadir hadir dengan kekuatan amatur para pelakonnya, set dan kostum yang minimal serta kebergantungan yang hampir tiada kepada bantuan penataan cahaya yang kompleks tetapi bergantung sepenuhnya kepada kekuatan ilmu yang dibawa dan bantuan Revolusi Pembudayaan Salawat yang mendendangkan nasyid sebagai selingan plotnya.

Lakonan para pelakonnya juga ringkas, menjelaskan bahawa dendangan nasyid dan ilmu yang ingin di bawa tidak perlu bergantung keras kepada kekuatan para pelakon, tetapi lebih kepada penghayatan yang diambil oleh para penonton. Maka, aspek naratif dilihat berkesan dengan sisipan lelucon melalui watak gagap oleh Ustaz Malaya dan pelakon yang lain. Teater mana lagi yang mampu hadir sebegini ringkas, minimal dan cukup hanya dengan 4 orang pelakon tetapi mesej ilmu dan provokasi mentalnya jelas?

Sememangnya Kopitiam Ghadir akan direncam vokal oleh para pemerhati yang tidak memahami sisi ilmu yang ingin disampaikan. Lebih besar dari itu, Kopitiam Ghadir saya lihat lebih bersifat futuristik mengambil kira teknik penyampaian muzikal yang dianjurkan serta nilai ilmu yang sengaja disuapkan kepada penonton, mudah melalui buku-buku rujukan masyarakat umum sahaja. Maka secara klinikal, Kopitiam Ghadir diklasifikasi indah kerana keberaniannya 'mem-vokal' dalam isu dan dilema yang belum dapat ditangani oleh masyarakat secara intelektual.

Rugi sememangnya, kepada mana-mana peminat teater yang terlepas peluang menikmati hidangan pementasan ilmu yang dibungkus indah dalam sebuah seni muzikal dan sisipan lelucon mewakili sindiran tajam kepada masyarakat setempat khususnya.

Dalam suasana meriah masyarakat teater mendapat kemudahan studio, pentas dan dana, Kopitiam Ghadir sengaja hadir secara ringkas dengan keterbatasan yang pelbagai di tengah kota Kuala Lumpur.

Kopitiam Ghadir mencipta daerah seni dan tingkat eksklusifnya yang tersendiri, menampung kemelaratan masyarakat yang buta sejarah dan super taklid dalam usaha memastikan seni bukan hak mutlak dunia pop.

Estetika Kopitiam Ghadir tumpah mewah lewat asas perbezaan di antara yang benar dan tidak, seputar persoalan ilmu mengenai wilayah dan kepekaan masyarakat terhadapnya.

Lebih rugi lagi, DBP yang membatalkan ruang kepada Faisal Tehrani kerana kemelaratan Kopitiam Ghadir bukan membayangkan produksinya yang lemah, tetapi kesediaan masyarakat yang belum boleh berhadapan dengan kebenaran ilmu, khasnya.

Kopitiam Ghadir hadir dan wujud untuk mencatat sejarah, bagaimana sebuah peradaban yang kononnya ulung kekal menolak, meminggir dan membakul-sampahkan sebuah daerah remeh bernama Ghadir Kumm.

Klik sini dan sini untuk sumber.

Berbicara Tentang Kopitiam Ghadir oleh Amalina Ismail

Saya tidak tahu apa itu Puitika Aristotle yang dibeberkan FT dalam blog beliau tentang teater Kopitiam Ghadir yang dipentaskan baru-baru ini. Namun, Kopitiam Ghadir adalah 'sesuatu' walaupun tanpa perkaitan itu.

Saya terlalu sibuk minggu ini, namun saya sempatkan juga mencuri waktu untuk hadir menonton karya pentas FT ini. Setelah tidak berkesempatan tahun lalu untuk menonton teater Dua Jam sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun.

Sederhana dan bermakna. Itulah pandangan saya untuk teater yang rata-rata memberi tema tentang kemuliaan Ahlul Bait. Jujurnya teater yang saya tonton di UPM lebih detail teknikalnya. Namun, ia masih sebuah karya yang hebat dalam memberi makna bagi sebuah karya seni Islami yang bisa menarik masyarakat masa kini. Sungguh, hadis-hadis yang dibaca para pelakon masih terngiang-ngiang di telinga.

Saya kira teknik ‘didaktik’ atau mengajar yang cuba diserapkan FT berjaya melalui teater ini. Melalui alunan nasyid yang segar dan humor yang sinis sering menepis kebosanan untuk pergi. Dan dalam sinis dan sarat ilmu, FT masih mampu menggugah hati dan jiwa penonton bila kisah Saidina Hamzah diangkat sama. Seperti dalam novelnya, FT bijak memberi rasa dalam karya dan tidak sekadar ‘menyumbat’ fakta.

Saya kira wajar untuk FT untuk terjun ke arus perdana seni teater dan hiburan tanah air. Membuat kolaborasi dengan penggiat-penggiat teater adalah langkah terbaik. Barangkali memang banyak halangannya namun saya yakin FT bukan seorang yang mudah mengalah tapi terus bangkit melawan.

Saya mengharapkan Kopitiam Ghadir akan dipertingkatkan mutunya, baik dari segi teknikal dan pemikirannya dan dipentaskan semula kepada khalayak yang lebih ramai. Saya juga merasakan perlunya lebih ramai generasi muda yang cinta kepada agama Islam ini untuk sama-sama ‘menjerumuskan’ diri dalam ‘gaung seni dan hiburan’ ini dan membawa metod-metod dakwah dan mendidik dalam karya. Ya, sewajarnya untuk kita sama-sama mendirikan ‘masjid-masjid seni’ yang indah dan sentiasa menarik kunjungan para pelawat.

Sumber, sila klik ---> sini dan sini.

Ahad, 16 Ogos 2009

Kredit/Penghargaan Pasca Pementasan Sulung Kopitiam Ghadir di ITNM, diulangi, Kopitiam Ghadir di ITNM.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani dan selawat serta salam kemuliaan ke atas Muhammad SAWW dan keluarga Muhammad SAWW, Kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat (lebih selesa ditaip sebagai RPS) ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam produksi (pre & pasca) pementasan sulung teater separa muzikal berjudul Kopitiam Ghadir karya Faisal Tehrani yang telah berakhir dengan kemeriahan luar biasa pada malam tadi.

Kepada pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), terutama Pengarah Urusannya Y.Bhg. Encik Mohd. Khair Ngadiron, dan juga kepada pengurusan bangunan Wisma ITNM di Seksyen 10, Wangsa Maju, RPS merakamkan "setinggi penghargaan yang tidak mampu terucap oleh kata-kata biasa" atas kesudian mengizinkan produksi Kopitiam Ghadir berpindah dalam waktu sesingkat itu setelah kami dihambat dengan alasan tidak bermaruah oleh pihak lokasi asal.

"DBP tak pandang pun tak apa, kami bahagia di ITNM." - petikan improvisasi dialog Wak Seman di malam terakhir pementasan. P/S: Jika kurang faham, boleh rujuk di blog-blog berkaitan. Cerita panjang pun membuang huruf yang perlu ditaip sahaja.

Juga penghargaan tidak ternilai kepada IKIM.fm (frekuensi 91.5fm di Lembah Klang), terutamanya Juruhebah Kak Ani dan Penerbit Nik Hasnah Ismail yang menyediakan ruang keemasan kepada RPS untuk muncul ditemubual secara eksklusif sambil menghebahkan info/promo tentang aktiviti kami di peringkat lebih awal dahulu. Nasihat yang diberi akan kami manfaatkan sebaik mungkin.

Kepada guru yang kami segani merangkap "kekanda sulung" kepada RPS di lapangan baru dalam gerakan "memasjidkan seni, membudayakan selawat", iaitu kekanda Faisal Tehrani al-Haj, RPS ingin rakamkan jutaan terima kasih atas peluang dan tunjuk ajar paling berharga yang disuapkan oleh kekanda dengan penuh kemesraan dan kesabaran sepanjang proses sulung produksi (pra, semasa dan pasca) Kopitiam Ghadir. Berkat izinNya, semoga kekanda Faisal Tehrani al-Haj akan terus sudi untuk mencurahkan ilmu kepada RPS di masa akan datang.

Tahniah dan kredit penting juga buat dua anggota RPS teristimewa, adik beradik Iswan dan Iswazi (keduanya masih bujang teruna!), kerana karya-karya muzika kalian belum pernah terjangkau dek akal sesiapa untuk melakukannya. Syabas! Semoga dapat diteruskan dan diperluaskan usahasama dengan RPS demi mencapai manfaat dan meraih syafaat Junjungan Besar kita, berkat izinNya.

Buat pasukan pengurusan produksi Kopitiam Ghadir, terutama Sdr. Luqman Hisyam, Sdr. Iwan dan lain-lain (Ramai juga jika mahu dimuatkan di sini semuanya. ;-)... ), berbanyak-banyak terima kasih juga atas kesabaran melayan kerenah pemakanan dan kesukanan kami @ RPS sepanjang proses pre-produksi Kopitiam Ghadir sehingga ke pasca malam terakhir pementasan.

Buat barisan aktor-aktor A.Xodd14, Alham Hilmi, Charles Faizal dan Amr Hmzh Abd Khr yang masih mentah bakat lakonannya di bawah payung RPS ini (ada juga yang menggelar kami anak-anak ikan, ada ke patut? ;-)...), berkat izinNya diharapkan semoga kita akan terus istiqamah mengharungi pelbagai bentuk cabaran dalam usaha untuk merevolusikan diri, pemikiran, hati, minda, jiwa serta akal, seterusnya keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negara melalui pembudayaan selawat yang memuliakan Muhammad SAWW dan keluarga Muhammad SAWW serta sahabat-sahabat baginda yang terpilih.

Kepada para penyumbang dana, semoga Allah SWT akan membalas jasa baik dan hati budi kalian yang sungguh membahagiakan dan semoga urusan kalian pula akan lebih dipermudahkan di dunia dan akhirat, berkat izinNya.

Kepada yang berkesempatan untuk hadir menonton, terima kasih kerana kehadiran kalian yang sememangnya di luar jangkaan telah lebih memeriahkan lagi pementasan Kopitiam Ghadir di ITNM, diulangi dengan penuh kesyukuran, Kopitiam Ghadir di ITNM. Di samping berhibur, semoga wacana-hiburan yang dihidangkan akan bermanfaat bukan sahaja buat anda, malah buat kami @ Revolusi Pembudayaan Selawat sendiri.

Kepada mereka yang masih berminat tetapi tidak berkesempatan untuk hadir menonton kerana pelbagai faktor (perubahan saat akhir, lokasi jauh, masa dsbnya.), doa dan harapan kalian membuatkan kami akan terus berusaha untuk menghadirkan Kopitiam Ghadir di lokasi-lokasi berhampiran kalian. Doakan, selawatkan dan diharap dapat sama-sama usahakan juga, berkat izinNya. ;-)

Kepada yang sengaja tidak hadir menonton, kami @ RPS akan sentiasa yakin dan positif untuk memastikan anda bakal hadir juga menonton di salah satu pementasan Kopitiam Ghadir pada masa akan datang.

Selawat!

P/S: Foto2 dan klip2 sekitar pementasan akan menyusul kemudian.

Sabtu, 15 Ogos 2009

13-16 Ogos 2009 di ITNM, Wangsa Maju


Ayuh, kita memenuhi ruang di Wisma ITNM, Wangsa Maju mulai 8.30malam antara 13 hingga 16 Ogos 2009 (Ahad) nanti. Sesuatu di luar jangkaan mungkin bakal saudara/i sekalian saksikan, berkat izinNya.

Musnahkan kebencian, raikan kecintaan,
Ketepikan perbezaan, manfaatkan persamaan.

Selawat!!!

Layari juga: http://tehranifaisal.blogspot.com/ untuk maklumat terkini tentang Kopitiam Ghadir.

Rabu, 12 Ogos 2009

Sedikit Sebanyak Tentang RPS












Buat masa ini, Revolusi Pembudayaan Selawat dianggotai oleh pemuda-pemuda yang memiliki latar personaliti berbeza. Namun, mereka perbezaan itu bukanlah halangan untuk mereka disatukan dalam sebuah gerakan demi usaha memasjidkan seni dan membudayakan selawat di bawah tunjuk ajar dan bimbingan Faisal Tehrani al-Haj ilham (seorang cerpenis, novelis, kolumnis, aktivis seni/budaya dan blogger terkenal yang juga penerima Anugerah Seni Negara 2006)..

Salah seorang dari mereka pernah bergiat separa-aktif di bidang muzik bukan arus perdana. Kini beliau cuma menumpukan komitmen seni kegemarannya bersama gerakan Revolusi Pembudayaan Selawat sahaja.

Seorang anggotanya yang lain masih lagi aktif di dalam industri muzik tanahair bersama pelbagai kugiran dan kini sedang menanti kelahiran usaha solo beliau yang pertama.


Anggota paling muda pula cuma menanti masa untuk tambah memeriahkan suasana industri muzik tempatan apabila tamat pengajian nanti melalui idea komposisi beliau yang unik dan tersendiri, insya-Allah.


Ada juga yang telah lama meninggalkan arena seni suara tetapi masih bersedia untuk menguji keupayaan vokal mereka demi untuk menggerakkan gagasan "Memasjidkan Seni".

Penulis lirik utama Revolusi Pembudayaan Selawat yang lebih selesa untuk memainkan peranan beliau di belakang tabir pula sebenarnya adalah seorang usahawan tani yang produktif.

Selain daripada lima pemuda tersebut, kelancaran pengurusan aktiviti seni Revolusi Pembudayaan Selawat turut dibantu oleh beberapa tenaga kerja melalui keanggotaan mereka di belakang tabir.

Pintu keanggotaan bagi menyertai kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat sebenarnya sentiasa terbuka kepada mana-mana individu berbakat yang berminat untuk turut sama-sama memasjidkan seni & membudayakan selawat.

Bagi mempamerkan sokongan anda kepada Revolusi Pembudayaan Selawat agar dapat bergerak lebih proaktif di masa hadapan, ayuh pastikan kehadiran seramai mungkin di pementasan sulung teater separa muzikal berjudul Kopitiam Ghadir karya Faisal Tehrani yang bakal berlangsung di Wisma ITNM, Wangsa Maju, Kuala Lumpur mulai hari ini 13 hingga 16 Ogos 2009.

Maklumat lanjut tentang Kopitiam Ghadir juga boleh didapati dari laman blog Faisal Tehrani.



Khamis, 6 Ogos 2009

Petikan Proses Rakaman untuk Kopitiam Ghadir

video

Klip di atas adalah petikan daripada proses rakaman sebenar suara salah seorang pelakon Kopitiam Ghadir untuk salah satu dari 6 buah lagu yang bakal dipentaskan.

P/S: Tiada apa yang perlu disembunyikan, kan?

Isnin, 3 Ogos 2009

Tarikh & Lokasi "BAHARU" Pementasan KOPITIAM GHADIR


MAKLUMAN!

Oleh kerana pihak pentadbiran lokasi asal seperti tidak dapat menampung jumlah pengunjung yang juga berkemungkinan ramai,
maka dengan rasa rendah hati diumumkan bahawa tarikh pementasan pertama Kopitiam Ghadir terpaksa dipinda,
dan lokasinya
juga terpaksa ditukar ke sebuah lokasi baharu yang juga mungkin lebih sesuai dengan tema gagasan "Memasjidkan Seni, Membudayakan Selawat".

Judul Asal: KOPITIAM GHADIR

Karya & Arahan Asal:
Faisal Tehrani (pengarah cool tapi agak errr, misterius!)

Memperkenalkan:
Kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat (setakat ini terdiri daripada 3 orang manusia dan seorang/seekor jin kot!)

Lagu-lagu Oleh:
Iswan Isa & Iswazi Isa (Adik beradik yang agak 'rock terpimpin' juga rupanya!)

Tarikh Baharu
: 13-16 Ogos 2009 (tarikh yang misterius dan bakal menjadi sejarah bagi kami, insya-Allah)

Tempat/Lokasi Baharu
: Wisma ITNM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket: RM10 sahaja.
(sila hubungi Sdr. Luqman Hisyam di talian +6012 233 5263 untuk tempahan)

Waktu mula
: 9.00malam atau 2100hr.

(Makluman penting: Kesemua bakal hadirin/hadirat digalakkan tiba lebih awal untuk mengelakkan kekecewaan kerana pintu masuk akan ditutup sebaik pementasan bermula, harap maklum. )

Sila klik imej yang tertera di atas untuk melihat lebih jelas peta lokasi baru. Peta dan maklumat lebih lanjut tentang lokasi baru ini juga boleh didapati dengan melayari laman sesawang ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia), sila klik sini.

Sebarang kesulitan amatlah dikesali, terutamanya kerana ramai yang telah menunjukkan minat mereka dan mungkin telah membuat persiapan lebih awal untuk hadir menonton pementasan pertama KOPITIAM GHADIR ini pada tarikh dan di lokasi asal. Harap dapat bertemu kalian pada tarikh dan di lokasi yang baru.

Doakan juga semoga produksi KOPITIAM GHADIR akan mendapat tawaran menarik untuk menghadirkan "cawangannya" di mana-mana lokasi berhampiran anda, insya-Allah.

Terima kasih.

RPS muncul di IKIM.fm

Kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat (RPS bukan RPK, ya!) telah berpeluang untuk muncul sebagai tetamu undangan semasa segmen Sampaikan (10-12 malam) di IKIM.fm pada Sabtu (1 Ogos 2009) yang lalu.

Semasa segmen Sampaikan tersebut berlangsung, RPS juga sempat berkongsi kisah sekitar asas penubuhan kumpulan dan juga menyanyikan secara langsung dua daripada enam buah lagu yang turut dimuatkan dalam teater Kopitiam Ghadir karya Faisal Tehrani yang bakal dipentaskan pada 13-16 Ogos 2009 ini di Wisma ITNM, Wangsa Maju. (walaupun lokasi bertukar, biarlah di tepi jalan sekalipun, pementasan akan tetap dilaksanakan, insha-Allah!)

Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada penerbit Nik Hasnah Ismail dan juga juruhebah Kak Ani yang sudi menjemput dan melayan kerenah anggota-anggota RPS di konti pada malam itu.

Terasa seperti tak cukup masa pula untuk RPS menghebahkan seberapa banyak info tentang kumpulan yang serba serbi baru di arena muzik berunsur didaktisme ini.

Insha-Allah, apabila berpeluang untuk mengedarkan album nanti, RPS mungkin akan dapat bersiaran lagi di IKIM.fm.

Terima kasih kepada yang mendengar, terima kasih kepada yang menelefon, terima kasih kepada yang berminat, terima kasih juga kepada IKIM.fm, kalian semuanya memang cool.

Selasa, 28 Julai 2009

Salam Muqaddimah dari Revolusi Pembudayaan Selawat

Sebuah lagi kumpulan nasyid pop tak pop sangat?

Sebuah lagi kumpulan muzikal berkugiran subterranean?

Sekumpulan pemuda berbakat terpendam yang lebih selesa menjual rupa semata-mata?

Sekumpulan artisan separuh masa yang mahu menyertai gagasan "memasjidkan teater dan muzik"?

Sebuah NGO non-partisan yang terpimpin secara kerohanian?

Sebuah kelab hobi non-eksklusif untuk angkatan pemuda non-eksekutif?

Sebuah program makanan tambahan Sekolah-sekolah Luar Bandar?

Sekadar satu lagi slogan minimal seperti SAYA SAYANG MAK SAYA yang bakal dicetak pada baju-t sebelum dijual lambak di Jalan TAR?

Apa-apa sahajalah?

Ada aku kesah?


Persoalan-persoalan di atas ini mungkin pernah bermain di fikiran anda sebaik sahaja terbaca nama Kumpulan Revolusi Pembudayaan Selawat
(atau singkatannya RPS, bukan RPK, ya.) yang mula terpapar di sekitar blogosfera tempatan.

Terutamanya jika anda adalah pengunjung tegar laman-laman seperti tehranifaisal.blogspot.com, KLpos.com, siasahdaily.blogspot.com dan beberapa lagi laman blog kegemaran ramai.

Sebelum lebih banyak lagi spekulasi atau persoalan yang timbul, maka Revolusi Pembudayaan Selawat mengambil langkah menerbitkan blog sebagai cabang media rasmi demi mencapai manfaatnya bersama segenap lapisan khalayak, insya-Allah.

Sebarang kritikan sangat dialu-alukan, terutamanya jika anda berpeluang menyaksikan projek usahasama Revolusi Pembudayaan Selawat yang pertama
iaitu pementasan teater separa muzikal berjudul
Kopitiam Ghadir karya Faisal Tehrani
pada 13-16 Ogos 2009 (9.00malam)
di Wisma ITNM (Institut Terjemahan Negara Malaysia),
Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur
.

Terima kasih.

P/S: Tarikh dan lokasi pertama pementasan Kopitiam Ghadir karya Faisal Tehrani terpaksa ditukar kerana lokasi asal mungkin tidak dapat menampung kehadiran pengunjung di luar jangkaan ramainya, insya-Allah.