Sempena menyambut tahun baru Masihi 2010, PENA - ASWARA telah menganjurkan Malam Genta Puisi '09. Majlis seperti ini biasanya membariskan kebanyakan aktivis-aktivis seni, sastera dan budaya. Kumpulan kami iaitu Revolusi Pembudayaan Selawat telah dijemput untuk menyampaikan 2 buah lagu yang berjudul 'Keutamaan Ahlul Bait' dan 'Keutamaan Selawat'.
Antara dif-dif kehormat yang dijemput adalah seperti Sasterawan Negara ke-10, Dato' Dr. Anwar Ridhwan dan Tan Sri A. Samad Said. Nama-nama popular dan tidak asing seperti personaliti TV3 iaitu Saudara Fedtri Yahya dan En. Sani Sudin dari kumpulan Kopratasa juga turut memeriahkan majlis dengan menyampaikan sajak dan lagu-lagu puisi. Selain itu, satu pementasan teater secara mini juga turut diselitkan.
Acara seperti ini dilihat sebagai satu hiburan alternatif bagi mereka yang inginkan sesuatu lain daripada yang lain. Adalah menjadi norma pada setiap malam tahun baru, muda-mudi akan memenuhi ruang di Menara Berkembar Petronas dan Dataran Merdeka untuk menonton konsert hiburan secara percuma.
Slot untuk kami bermula pada jam 9.45 malam. Sebelum memulai persembahan, Saudara Amir Hamzah menyampaikan sajak yang dikarangnya sendiri secara spontan sejurus sebelum menaiki pentas. Ianya berbunyi begini :
Betapa indahnya Rumah Kesedihan Baitul Ahzan
Ada bara api yang marak menyalakan cinta
Ibarat lilin yang membakar diri
Ibarat darah yang terpercik di bumi penghulu syuhada
Api hadir dalam serangkap kalimah
Dengan hormatnya bergelar 'Solawat'
Dalam solawat ada api, dalam solawat ada cinta
Ada revolusi, ada rindu, ada dendam
Ada suka, ada duka
Dalam solawat ada Muhammad dan ahlul baitnya!
Majlis berakhir pada jam 12.15 pagi (01/01/2010) dengan acara memotong pulut kuning oleh tetamu kehormat iaitu Sasterawan Negara ke-10, Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan