Selasa, 25 Ogos 2009

Kopitiam Ghadir : Temubual Eksklusif KLpos.com dengan Faisal Tehrani

Sumber asal dari KLpos.com, klik sini.
Sumber pautan dari blog Faisal Tehrani, klik sini.


Kopitiam Ghadir dikatakan kontroversial sehingga tidak dapat dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 8-11 Ogos lalu dan terpaksa ditunda dan dibawa ke Institut Terjemahan Negara pada 13-16 Ogos 2009 lalu?
Untuk pengekor setia saya, idea ‘supra mazhab’ seperti yang saya ungkapkan dalam Mingguan Malaysia 23 Ogos lalu sudah terbiasa. Jadi tak ada yang kontroversi. Saya menegaskan kita mesti meminjam solusi atau formula dari tradisi Islam yang lain, kita gubah dan sesuaikan lalu kita canai dengan baik untuk menjadi ubat atau penawar kepada masalah yang sedia ada. Tidak kira formula solusi itu dari sunni, syiah, kejawen ataupun tarekat asalkan ia Islam. Ini tidak, karya sastera Islam (kebanyakannya) balik-balik cinta muslim-muslimah. Balik-balik ungkapan Islami di sana sini. Tidak ada hasil. Tidak ada sikap sosial. Tidak ada wacana untuk menyelesaikan masalah ummah. Baca pun kita naik geli-geleman. Tidak mencabar pemikiran.


Apa yang membuatkan Dewan Bahasa dan Pustaka menyusahkan pementasan Kopitiam Ghadir jika begitu?

Saya tak tahu. Itu mesti tanya DBP. Pada 24 Julai 2009 mereka telah bersetuju memberi tempat pementasan di Balai Budaya Tun Syed Nasir. Surat izin ditandatangani oleh Ketua Bahagian Pengembangan Sastera. Ekoran dari itu pada 27 Julai, produksi Kopitiam Ghadir telah mendapat permit polis dan DBKL.


Kemudian saya berlepas ke Singapura untuk acara Read Singapore. Bila saya pulang ke pejabat pada 4 Ogos, dapat surat menerusi faks bertarikh 30 Julai 2009 yang mengatakan saya perlu meminta kebenaran pihak berwajib agama. Surat ini ditandatangani oleh Pengarah Jabatan Sastera. Padahal saya bertemu dengan beliau dan Ketua Pengarah DBP di Kementerian Pelajaran sewaktu mesyuarat Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris pada 3 Ogos.


Saya tidak ada masalah untuk meminta pandangan JAKIM. Saya tahu undang-undang dan prosedur. Tapi saya juga kerja kerajaan dan saya tahu cara orang bekerja. Jika saya merujuk Bahagian Penyelidikan JAKIM, tentu akan memakan masa sedangkan tarikh pementasan sudah dekat dan sudah ramai yang membuat tempahan untuk datang menonton. Ada waktu kurang seminggu untuk mendapat penilaian JAKIM.


Waktu itu saya belum marah kerana saya tahu ramai orang di DBP dari zaman Jurasik serta ketinggalan zaman, dan tidak faham idea-idea supra mazhab saya yang kompleks. Tetapi saya jadi marah apabila mendapat tahu adanya pementasan di Stor DBP pada 11-16 Ogos yang ada kisahnya berlegar sekitar anak haram dan gay. Saya mendapat tahu naskah anak haram dan gay ini tidak diwajibkan merujuk JAKIM. Berbanding drama Kopitiam Ghadir yang secara inteleknya membawakan wacana hadis, saya kira drama anak haram dan gay lebih patut dinilai dan disiasat JAKIM. Saya anggap DBP sengaja sabotaj.


Waktu itu saya marah. Dan saya marah sebagai seorang Muslim, sebagai seorang dhaei, sebagai seorang penerima Anugerah Seni Negara 2006 yang diperlakukan macam sampah sarap. Nak beritahu saya pun tak berani, arahkan seorang dua pegawai hantar sms kepada saya. Ini keutamaan pencapaian yang diinginkan oleh sebuah agensi kerajaankah?


Bagaimana Kopitiam Ghadir boleh dipindahkan ke ITNM?
Saya mengemel naskah Kopitiam Ghadir kepada pihak ITNM dan bertemu sendiri dengan Pengarah Urusannya. Dan mereka faham drama ini sebuah drama wacana. Sebuah pendapat. Kalau tak setuju maka ia wajar dibalas dengan pendapat juga, dengan wacana juga, bukan dengan menghalang pementasan. Jadi saya berterima kasih dengan ITNM yang celik minda dan siuman dalam penilaian. Saya juga berterima kasih dengan IKIM.fm yang tolong mempromosikan kerja dakwah kami ini. Ada dee-jaynya datang menonton. IKIM ini maksudnya Institut Kefahaman Islam Malaysia. Mujur ada agensi kerajaan yang masih waras dan guna akal untuk menimbang sesuatu.


Kopitiam Ghadir mengisahkan apa?
Punca perpecahan umat Islam ialah soal kepimpinan selepas Rasulullah saw. Kita menerima Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pengganti Nabi Muhammad. Tetapi ada umat Islam mengatakan Rasulullah telah melantik Saidina Ali sebagai pemimpin selepasnya di Ghadir Khum. Ada yang mengatakan peristiwa Ghadir Khum itu sebagai hadis dhaeif. Tidak kurang juga yang mengatakan ia sahih. Dalam Musnad Imam Ahmad, yang sahih dan dhaeif itu dua-dua sekali ada. Dalam Kopitiam Ghadir, watak-watak ini membacakan hadis yang dhaeif dan sahih tersebut. Saya selaku pengarang tidak menghukum sesiapa pun. Saya mengatakan dalam naskah tersebut: “Ada yang pilih hadis sahih sebagai hujah, ada yang pilih hadis dhaeif, tema hadis tetap sama iaitu Rasulullah saw pilih Saidina Ali sebagai pemimpin. Jadi buat apa nak gaduh-gaduh. Kita umat Islam kena bersatu. Kalau nak pegang pada dhaeif silakan, nak pegang pada sahih silakan. Yang penting hari ini kena bersatu, musuh banyak nak ganyang kita.”


Hanya ada seorang pegawai DBP yang datang menonton. Dia pulang dan sms saya kata dia puas dengan hiburan berintelek. Lain yang datang menonton Kopitiam Ghadir antaranya Saudara Mohd Ezzam Mohd Nor ahli politik terkenal, penggiat teater Zakaria Ariffin dan Dr Zainal Latiff, juga Helmy Samad pemilik Wira Bukit. Saya tak nampak pun mereka balik dalam keadaan sesat dan rosak akidah. Tak ada pulak mereka isytihar nak jadi atheis lepas tonton pementasan kami. Kopitiam Ghadir mengajak orang membudayakan selawat. Lagu pun tentang selawat. Tak ada sepicing pun tentang anak haram dan gay. Tengok pun dapat pahala. Kalau bantu lagi dapat pahala. Atie AF datang menonton hantar sms kepada saya dan menutup sms dengan kalimat - selawat. Itu tak baguskah?


Siapa pelakon Kopitiam Ghadir?
Budak-budak band indie. Tapi mereka baik-baik belaka. Tak ada antara mereka penyokong anak haram, gay atau atheis. Amir Abdul Kahar pernah menjadi pemain gitar dengan beberapa band. Charles Faizal pula pernah menubuhkan band Faces dan merupakan pengasas Seekers. Ahmad Xodd adalah penyanyi yang pernah dicalonkan untuk AIM 2004 bagi kategori Album Inggeris Terbaik. Hilmi pula pernah menyanyi dengan band The Section. Jadi pelakon Kopitiam Ghadir adalah anak-anak indie yang tercerahkan, yang bukan melalak menyanyi lagu punk tapi tak reti baca kitab hadis. Saya himpunkan mereka, lunasi mereka dan bawa mereka kepada lagu-lagu ketuhanan. Nak harap orang lain buat payah, sebab masing-masing menghukum. Pada saya hukum datang kemudian, ajak minat pada agama dulu yang utama. Bila dah minat pada agama sendiri tahu nak jaga hukum.


Mereka ini menubuhkan Band Revolusi Pembudayaan Selawat?

Revolusi Pembudayaan Selawat atau RPS bukan band, bukan kumpulan nasyid. Kami adalah NGO, sebuah gerakan, iaitu gerakan untuk memasjidkan seni dan membudayakan selawat. Itu pun ada orang kata kami buat main dengan agama. Gila. Itu hasrat kami, nak masjidkan seni. Jadi siapa-siapa boleh menyertai RPS dan datang membantu.


Lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir sangat merdu adakah kemungkinan untuk RPS merakam album?

Lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir dicipta oleh Mohd Iswan Isa, pelajar akhir UITM Shah Alam. Lirik oleh abangnya sendiri Mohd Iswazi. Memang saya nak mereka rakam lagu-lagu dalam Kopitiam Ghadir supaya masyarakat boleh dengar. Tetapi proses merakam album tidak mudah dan perlukan dana besar. Kami memang nak buat cepat sebab takut lagu-lagu diciplak oleh komposer mapan yang mahu ambil jalan mudah.


Apakah ada kemungkinan Kopitiam Ghadir dipentaskan sekali lagi?
Ada. Mungkin bulan Disember (2009). Tetapi bergantung kepada dana. Ramai orang panggil nak bawa kami ke sana ke mari tetapi mana duit? Beri kami duit. Kalau teater tentang anak haram dan gay boleh diberi duit, sila beri duit kepada teater yang memuja keagungan dan keutamaan Rasulullah saw, dan Saidina Hamzah.


Saudara Faisal tidak bimbang digam Dewan Bahasa dan Pustaka?
Nak buat macam mana? Saya timun. Mereka durian. Nak gam atau tidak bukan kuasa saya. Kerja dakwah mesti diteruskan. Saya katakan kepada kawan-kawan di DBP, jawab dengan Tuhan nanti macam mana teater anak haram boleh dibenar dipentaskan di sana tapi teater puja Rasulullah menerusi selawat dipayahkan. Belum lagi dikira teater pikul kavadi dalam bulan Rejab. Siapkan jawapan mulai sekarang.


Apa tindakan saudara seterusnya?
Saya bukan lagi anak Minggu Penulis Remaja yang DBP kenal sewaktu saya berusia 16 tahun. Jangan terperangkap dengan masa. Saya penerima Anugerah Seni Negara 2006. Mungkin ada orang tak pandang gelar ini. Tapi gelar ini saya dapat daripada Yang Dipertuan Agung. Saya akan tulis surat kepada pihak atasan. Dalam keadaan 1Malaysia di mana suara minoriti didengar, dalam keadaan rakyat biasa pun didahulukan maka takkanlah pihak atasan akan abaikan aduan seorang penerima anugerah seni negara.


* Revolusi Pembudayaan Selawat akan muncul di Selamat Pagi Malaysia pada 29 Ogos 2009 (sabtu) ini. Pastikan anda menonton pelakon-pelakon Kopitiam Ghadir ini nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan